GALERI AURA ISLAM, TELUSURI SEJARAH AD-DIN
Bila sebut mengenai pelancongan di Johor, mungkin yang terbayang di benak fikiran ialah tempat menarik seperti Taman Tema Legoland, keindahan panorama Gunung Ledang ataupun kejernihan air di pesisir pantai dan pulau di Mersing.
Tapi sebenarnya di Johor ada banyak lagi lokasi menarik untuk dilawati dan antara yang agak unik untuk dilawati ialah Galeri Aura Islam yang terletak di Iskandar Puteri.
Apa yang uniknya di Galeri Aura Islam ini? Di galeri inilah terdapat ruang pameran yang memaparkan pelbagai jenis koleksi artifak yang berkait rapat dengan sejarah Islam yang bukan sahaja di alam nusantara, tetapi juga beberapa tinggalan sejarah dari Timur Tengah.
Pengasasnya, Datuk Anuar Hasan memberitahu Galeri Aura Islam juga memperkenalkan konsep ‘mutawif’ yang akan membantu setiap pengunjung mendapatkan informasi lengkap mengenai setiap objek atau koleksi yang terdapat di galeri berkenaan.
Ujarnya, pihak Galeri Aura Islam berharap ia juga akan menjadi antara daya tarikan yang akan dapat menyokong merealisasikan Tahun Melawat Johor 2026 menerusi pengenalan pelancongan warisan Islam ke negeri ini kelak.
Lebih memberangsangkan, selain beroperasi di Iskandar Puteri, Galeri Aura Islam juga pernah membuat pameran di beberapa negara luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Kanada.
Justeru, diharapkan dengan kewujudan galeri seumpama ini akan dapat memberikan kefahaman kepada orang ramai dalam menghayati sejarah ketamadunan Islam pada masa akan datang.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor