KERAJAAN NEGERI KOMITED SELESAI ISU AIR
Inisiatif saluran paip dari empangan ke empangan, pembinaan baraj di Sungai Muar dan penggantian paip lama menjadi antara tumpuan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di negeri ini.
YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, berkata inisiatif ini dilaksanakan bagi membolehkan tiada lagi gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini, sekali gus dapat memberi kemudahan air bersih kepada seluruh Bangsa Johor pada masa akan datang.
Katanya, bekalan air di Johor secara umumnya masih berada pada tahap optimum dengan kadar taburan hujan yang tinggi, namun gangguan bekalan air yang sering berlaku terutama di daerah Kluang dan Kota Tinggi dilihat berpunca daripada beberapa faktor lain seperti kejadian paip pecah dan juga keadaan tekanan air yang rendah.
Contohnya daerah Kluang masih mempunyai lebihan (surplus) air mentah daripada Empangan Kahang sebanyak 100 juta liter perjam (JLH) dan daerah Kota Tinggi juga mempunyai simpanan bekalan air yang mencukupi bagi keperluan pengguna tetapi masalah perpaipan menjadi faktor yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, bagi musim kemarau juga, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif membina satu saluran paip dari Empangan Seluyut ke Empangan Lebam dan dua saluran paip air dari Empangan Seluyut ke Empangan Upper Layang. Paip-paip air terbabit berupaya untuk memindahkan sebanyak 30 JLH ke Empangan Lebam dan 260 JLH ke Empangan Upper Layang. Projek terbabit masing-masing sudah siap sepenuhnya pada 2016 dan 2022 lalu, sekali gus dapat membantu menampung kemerosotan jumlah air di empangan ketika cuaca panas dan kering.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor juga telah mengambil inisiatif untuk menukar kira-kira 6,000 kilometer saluran paip lama bawah tanah dalam usaha menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa daerah di negeri ini.
Ia berikutan ada diantara paip lama ini sudah berusia lebih 40 tahun yang menyebabkannya mudah retak dan pecah, selain binaannya berteknologi lama hingga berlakunya gangguan bekalan air dan juga pembaziran. Inisiatif ini dilaksanakan secara berfasa selama 10 tahun dengan fasa 1 dijangka selesai menjelang 2025.
Pada Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 lalu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda mengenai gangguan bekalan air ketika Bangsa Johor sedang menyambut Aidilfitri. Baginda menitahkan supaya Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas kepada syarikat dan agensi terlibat supaya perkara itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Ditanya mengenai isu penerobosan air masin di Sungai Muar, Mohamad Fazli berkata, Kerajaan Negeri juga sudah membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi cadangan pelaksanaan baraj di sungai berkenaan pada 2015.
Katanya, kajian kebolehlaksanaannya telah disiapkan pada 2017, manakala perunding bagi menyediakan reka bentuk konsep juga telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan pada 2022, sebelum ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan seterusnya diharap dapat mengatasi masalah penerobosan air masin di Sungai Muar hingga menyebabkan beberapa loji rawatan air (LRA) di daerah itu seperti LRA Panchor, LRA Grisek dan LRA Gombang tidak dapat beroperasi pada kapasiti sepenuhnya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor