USAH DIBUAI KEJAYAAN, TERUS SOKONG JDT!


Curva Nord Boys of Straits, Stadium Sultan Ibrahim. Foto MDJ Wira Anggara

 

“Hari kita lupa macam mana kita bermula, di mana kita berada sebelum semua kejayaan, adalah hari kami musnah. Berjuta dikorbankan demi senyuman dan kegembiraan mu. Tak pernah berputus asa, sentiasa melawan. Semua demi mu. Harap satu hari nanti anda sedar dan hargai pengorbanan ini.” – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (4 Ogos 2024)

 

Permulaan bulan Ogos yang menakjubkan bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) untuk musim 2024/25 dengan pelbagai aksi menarik dan semestinya banyak kejayaan akan terus dicipta dalam misi mengekalkan status selaku juara di dalam padang mahupun di luar padang.

 

Skuad elit JDT berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA buat tiga tahun berturut-turut selepas menafikan kemaraan Kedah Darul Aman dengan agregat 5-1 hasil kemenangan mudah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

 

Di gelanggang futsal juga tidak kurang hebatnya apabila skuad JDT mengesahkan kejuaraan dalam kancah Liga Premier Futsal Kebangsaan Divisyen 1 2024 buat kali pertama selepas membelasah pasukan Kuala Lumpur City dengan keputusan 9-2 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

 

Selain itu, skuad Akademi JDT bawah-14 berjaya menjinakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, dari Terengganu dengan keputusan 1-0 untuk berada di kedudukan kedua kumpulan A dengan perbezaan satu mata di belakang Akademi Mokhtar Dahari dalam kempen Piala Kementerian Pendidikan Malaysia 2024.

 

Aksi kumpulan B Piala Belia 2024 juga menyaksikan JDT IV yang bertandang ke Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang berjaya menundukkan MISC-Touchtronic FC dengan keputusan 3-1 sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan B selepas mengharungi 14 perlawanan.

 

Rentetan kemenangan dicatat oleh semua skuad JDT di atas padang tidak seharusnya membuatkan kita semua leka sehingga terlupa untuk terus memberi sokongan padu dengan hadir ke stadium bagi memastikan Empayar Harimau Selatan terus berdiri megah sebagai sebuah jenama yang kukuh dan sukar ditandingi.

 

#Chapter2
#theTMJeffect
#SudutPandangPenyokong
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor