AKSES UBAT KINI LEBIH MUDAH
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor sentiasa memandang serius dan bertindak secara proaktif bagi menyediakan rangkaian perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat negeri ini, meskipun sektor kesihatan adalah bidang kuasa di bawah Kerajaan Persekutuan.
Bagi maksud itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan inisiatif penghantaran ubat melalui pos (UMP) yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan menjimatkan tempoh menunggu pesakit di kaunter farmasi. Selain itu, inisiatif ini juga dapat mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di beberapa fasiliti kesihatan khususnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Inisiatif ke-46 di bawah Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial dalam Belanjawan Johor 2025 ini juga akan dapat membantu pesakit khususnya dari golongan berpendapatan rendah untuk menikmati bekalan ubat susulan secara percuma yang akan dilakukan oleh Pos Malaysia Berhad dengan kos penghantaran dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut memperkasa inisiatif Belanjawan Johor 2024 di bawah Strategi 3: Meningkatkan Kualiti Kesihatan Bangsa Johor menerusi Inisitiatif 2: Sistem Penyampaian Kesihatan, di mana sejumlah RM170,000 diperuntukkan bagi memasang kemudahan 348 lokar ubat dari Projek Locker4U di enam lokasi di negeri ini.
Bermula 1 Disember lalu, sebanyak enam fasiliti kesihatan di daerah Johor Bahru telah memulakan perkhidmatan Locker4U termasuk Klinik Kesihatan Bukit Indah yang kini turut menempatkan lokar ubat di premis Lotus’s Bukit Indah serta satu lagi kemudahan sama disediakan di daerah Kulai.
Isu berkaitan fasiliti kesihatan uzur juga turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri apabila sejumlah RM4 juta disediakan bagi menaik taraf Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, KK Majidee, KK Tebrau dan KK Kulai. Selain itu, peruntukan signifikan dari Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut diterima bagi melaksanakan usaha menaik taraf 47 fasiliti kesihatan di seluruh negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menghadiri program Walkabout Pelancaran Projek Locker4U 2025 dan Inisiatif Perkhidmatan UMP di Lotus’s Bukit Indah.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor