JDT ‘TAPAU’ ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN

Pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi 11 anugerah utama pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025. | Foto JOHOR Southern Tigers

 

#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memahat reputasinya sebagai gergasi bola sepak tanah air apabila mendominasi 11 anugerah utama pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

 

Angka 11 dilihat seakan-akan menjadi nombor bertuah kepada JDT pada tahun ini apabila kejayaan luar biasa ini bukan sekadar membuktikan kehebatannya di atas padang, malah ia juga menjadi simbol kejayaan menyeluruh pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu bermula dari perancangan pengurusan, pembangunan pemain muda hingga ke semangat kental penyokong setia Harimau Selatan.

 

Pengiktirafan Pasukan Terbaik pada malam anugerah tersebut terus mengukuhkan cengkaman JDT sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia, hasil komitmen dan konsistensi cemerlang di semua posisi sepanjang musim ini.

 

Pemain sensasi yang sinonim dengan jersi 42, Arif Aiman Hanapi menjadi bintang paling menyerlah pada acara berprestij itu apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MVP), Pemain Tengah Terbaik, mengungguli kategori Gol Terbaik dan turut tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik menjadikan beliau pemain JDT paling berjaya dalam ABK edisi kali ini.

 

Keunggulan JDT kali ini juga turut dipacu oleh prestasi individu beberapa bintang JDT lain seperti Ahmad Syihan Hazmi (Penjaga Gol Terbaik), Feroz Baharudin (Pertahanan Terbaik) dan Bergson Da Silva yang merangkul Kasut Emas Liga Super serta Pemain Import Terbaik, bukti kekuatan dan kemantapan skuad Harimau Selatan pada setiap posisi pasukan.

 

Lebih memberangsangkan, sistem pembangunan bakat muda JDT juga terus membuahkan hasil apabila Gabriel Nistelrooy Tamin dari Skuad JDT II dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Pilihan MFL dan Pemain Piala MFL Terbaik, satu lagi cerminan kejayaan akademi, pembangunan akar umbi dan perancangan jangka panjang kelab yang mantap.

 

Selain itu nama-nama besar lain seperti Park Jung Heong dan Juan Muniz turut tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik, melengkapkan dominasi JDT dalam anugerah berprestij ini dan mengukuhkan keyakinan bahawa era kegemilangan Harimau Selatan akan diteruskan selepas ini dan ia ternyata masih jauh dari garisan penamat.

 

Dengan 11 anugerah dibawa pulang, JDT bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah meletakkan penanda aras tinggi kepada semua kelab di Liga Malaysia serta satu motivasi untuk terus melakar kejayaan lebih besar termasuk memperkukuh nama di persada Asia dan dunia.

 

#JDT
#WTN
#TMJEffect
#NewChapter
#Chapter2
#WhatCanYouDo
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor