JS-SEZ MAMPU ATASI CABARAN ‘BRAIN DRAIN’ DI JOHOR

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor selaku panel pada program JS-SEZ 360°: Beyond the Hype di CEREBRUM, Menara KOMTAR, Ibrahim International Business District (IIBD). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi langkah strategik Kerajaan Negeri dalam mengekang isu ‘brain drain’ bagi mengelak ketirisan bakat akibat berhijrah ke luar negara yang menawarkan peluang kerjaya dan gaji lumayan di pelbagai sektor.

 

Menerusi pelbagai tawaran pakej insentif menarik yang disediakan, Zon khas berkenaan dijangka menarik sekurang-kurangnya 50 syarikat bertaraf multinasional dan menyediakan 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta profesional dengan gaji kompetitif.

 

Penawaran gaji permulaan antara RM4,000 hingga RM5,000 khususnya dalam kalangan graduan yang disediakan oleh syarikat-syarikat tersebut akan menarik dan mengekalkan bakat serta tenaga kerja mahir tempatan untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

 

Keyakinan pelabur terhadap potensi JS-SEZ sebagai destinasi utama ekonomi digital dan berteknologi tinggi di rantau ini menyaksikan Johor telah berjaya meraih RM27.4 bilion pelaburan bagi tempoh suku pertama tahun ini sekali gus menjadi petunjuk positif perkembangan zon khas berkenaan.

 

Selain itu, pembangunan bakat di negeri ini turut disokong pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor dan penubuhan fakulti kecerdasan buatan (AI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Dengan gabungan pelaburan berimpak tinggi, peluang pekerjaan bergaji premium dan ekosistem teknologi yang kondusif, pelaksanaan JS-SEZ diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta menjadi benteng kukuh menangani cabaran ‘brain drain’ secara menyeluruh.

 

Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor dijemput hadir selaku panel pada program JS-SEZ 360°: Beyond the Hype di CEREBRUM, Menara KOMTAR, Ibrahim International Business District (IIBD), hari ini.

 

Turut hadir, YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) serta YBrs. Encik Mohammad Najmie Noordin, Ketua Pegawai Bakat JCorp.

 

#JSSEZ
#JTDC
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor