PEMANGKU SULTAN JOHOR SERTAI LATIHAN TAKTIKAL BERSAMA GGK, 7 BRIGED

Sesi latihan taktikal ‘Thunderstorm’ Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) dengan Gerup Gerak Khas (GGK) dan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged). | Foto HRH Crown Prince of Johor

 

#IskandarPuteri – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat bercemar duli menyertai latihan taktikal ‘Thunderstorm’ bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) dengan Gerup Gerak Khas (GGK) dan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

 

Menerusi hantaran di laman sosial rasmi, Baginda bertitah menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua pasukan terbabit atas profesionalisme, ilmu ketenteraan serta semangat juang tinggi yang ditunjukkan sepanjang sesi latihan.

 

Penglibatan Pemangku Sultan Johor dalam latihan signifikan berkenaan mencerminkan kebitaraan kepimpinan melalui teladan dan kesediaan Baginda untuk bersama menjalani latihan dengan barisan perwira negara di lapangan selain menjadi solidariti antara ATSNJ dengan pasukan elit negara.

 

Latihan pusingan pertama bermula seawal jam 2 pagi itu menyerlahkan ketangkasan ATSNJ dan pasukan pertahanan negara dalam mengendalikan situasi taktikal berisiko tinggi sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman terhadap keselamatan serta kedaulatan tanah air.

 

GGK merupakan kumpulan komando elit menjalankan misi operasi khas selain berperanan sebagai benteng pertahanan pertama negara dan menjadi tunjang kepada operasi ketenteraan yang memerlukan kepakaran khusus serta tindakan segera.

 

Latihan intensif ‘Thunderstorm’ disertai DYAM Tunku Mahkota Ismail yang melibatkan dua pusingan itu juga menterjemahkan suatu bentuk kerjasama strategik antara ATSNJ, GGK dan 7 Briged demi memperkukuh aspek keselamatan dan pertahanan negeri serta negara.

 

#GGK
#ATSNJ
#7Briged
#Thunderstorm
#PemangkuSultanJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor