GAJI PREMIUM, KEMAHIRAN BAKAT TEMPATAN AGENDA UTAMA KERAJAAN JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan YB Dato’ Zulkurnain Kamisan, Ahli Dewan Negeri kawasan Sri Medan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan terhadap agenda menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji premium serta usaha pembangunan kemahiran belia tempatan sebagai antara strategi utama dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini.

 

Bagi memenuhi keperluan ini, Kerajaan Johor menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) kini giat menjalinkan kerjasama dengan pihak universiti, institusi kemahiran dan pusat kecemerlangan teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk melatih bakat tempatan agar selari dengan kehendak dan keperluan pasaran industri masa kini.

 

Justeru, Kerajaan Negeri melalui JTDC dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) juga menggalakkan syarikat pelabur untuk turut meletakkan gaji minimum RM3,500 bagi pemegang lulusan diploma dan RM4,000 untuk graduan ijazah atau sasaran purata RM5,500 bagi memastikan rakyat Johor dapat menikmati kadar tangga gaji yang lebih selesa dan kompetitif.

 

Selain itu, sebuah syarikat dari China yang telah melabur sebanyak RM500 juta sebelum ini turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan sehingga RM3 bilion serta bercadang membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong pembangunan kemahiran serta keperluan tenaga kerja mahir tempatan.

 

Syarikat berkenaan juga turut menyatakan komitmen untuk menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi memastikan tenaga kerja yang bakal mengisi kilang-kilang mereka bakal terdiri daripada anak-anak Johor yang berkelayakan dan berkemahiran tinggi.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan tambahan YB Dato’ Zulkurnain Kamisan, Ahli Dewan Negeri kawasan Sri Medan mengenai usaha Kerajaan Negeri memastikan rakyat Johor menikmati gaji premium hasil pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor (JS-SEZ) pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#GajiPremium
#JTDC
#IMFCJ
#JSSEZ
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor