JOHOR REKOD RM162 BILION PELABURAN, CIPTA 53,000 PELUANG PEKERJAAN

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab mengenai usaha memastikan pelaburan dibawa masuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di negara ini, apabila merekodkan sebanyak 1,761 projek pelaburan diluluskan dari tahun 2022 hingga 2024 merangkumi nilai keseluruhan pelaburan komited mencecah RM162.2 bilion dalam tempoh tersebut.
Angka signifikan berkenaan juga berjaya membantu dalam mewujudkan 53,764 peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memerlukan kemahiran tinggi sekali gus membuka ruang rakyat Johor menjalani latihan serta kekal bekerja di negeri sendiri.
Sektor pelaburan yang dibawa masuk ke negeri ini, tidak hanya terhad kepada sektor pembuatan, sebaliknya merangkumi sektor berimpak tinggi antaranya semikonduktor, petrokimia dan pusat data yang mengangkat Johor untuk muncul antara hab pusat data terbesar di Malaysia dengan pelaburan dari Microsoft dan ByteDance.
Pembangunan rantaian bekalan tempatan juga ditekankan dengan menggalakkan pelabur menggunakan perkhidmatan dan produk syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengusaha vendor termasuk pelaburan strategik yang merangsang pertumbuhan sektor perkhidmatan profesional seperti logistik, audit dan perbankan.
Selain itu, setiap pelabur juga dipantau dari segi pelaksanaan program pembangunan bakat dan latihan kemahiran kepada komuniti setempat dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi memastikan anak tempatan dapat memanfaatkan peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab mengenai usaha memastikan pelaburan dibawa masuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#DewanNegeriJohor
#JTDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor