INDUSTRI ASAS TANI JOHOR REKOD JUALAN RM348 JUTA

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menerusi jawapan bertulis mengemukakan beberapa langkah strategik dalam usaha memperkukuh industri hiliran di Johor pada Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengungguli sektor agromakanan negara apabila merekodkan nilai jualan tertinggi bagi produk Industri Asas Tani (IAT) sebanyak RM348 juta atau 29 peratus daripada nilai keseluruhan jualan IAT Malaysia bagi tahun 2024.

 

Berdasarkan rekod daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Johor turut mencatat jumlah usahawan IAT berdaftar tertinggi dengan seramai 1,604 usahawan, iaitu 27 peratus daripada keseluruhan jumlah di negara ini. Daripada jumlah tersebut, 17 usahawan IAT Johor berada pada Tahap 5 dengan nilai jualan melebihi RM5 juta, manakala enam usahawan IAT lagi telah berjaya mencapai Tahap 6 dengan jualan melebihi RM15 juta.

 

Sementara itu dalam usaha memperkukuh pembangunan industri hiliran, Kerajaan Johor melalui Jabatan Pertanian Negeri kini sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti insentif pemberian mesin dan peralatan, pembangunan teknologi pembungkusan serta bantuan pembinaan dan naik taraf bengkel pemprosesan makanan.

 

Fokus sama turut diberikan terhadap aspek pematuhan pensijilan Halal, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) melalui latihan, bimbingan serta khidmat nasihat yang disalurkan menerusi Agen Pengembangan Industri Asas Tani (APIAT).

 

Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM4.6 juta bagi memperkasakan 264 usahawan IAT, manakala dana sebanyak RM2.2 juta pula diperuntukkan pada tahun ini bagi memanfaatkan seramai 121 usahawan dengan tumpuan diberikan kepada aspek peningkatan kapasiti pengeluaran, pembangunan produk berkualiti dan pemerkasaan teknologi moden.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menerusi jawapan bertulis mengemukakan beberapa langkah strategik dalam usaha memperkukuh industri hiliran di Johor pada Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#WTN
#UsahawanTani
#IAT
#DewanNegeri
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor