SEGERA TANGANI GANGGUAN BEKALAN AIR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengarahkan supaya mesyuarat krisis kecemasan diadakan untuk menyelaras tindakan pantas memulihkan bekalan air secepat mungkin susulan gangguan yang berlaku di beberapa kawasan di Johor Bahru pada ketika ini.
Tindakan proaktif dan pantas dengan menyalurkan bekalan air alternatif melalui penyediaan tangki-tangki air serta bantuan tambahan sedang diusahakan daripada daerah dan negeri berhampiran, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengarahkan pembelian air mineral dalam kuantiti besar agar penduduk terjejas terus mendapat akses minuman bersih sebagai langkah sementara selain bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk atasi situasi berkenaan.
Terdahulu, gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di Johor Bahru susulan kerosakan luar jangka pada pam-pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Akibat daripada kerosakan berkenaan, operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya menyebabkan sebanyak 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat disalurkan dan memberi kesan kepada hampir 100,000 akaun pengguna.
Setakat jam 6 pagi tadi, LRA Sungai Johor sudah mula beroperasi sehingga 75 peratus daripada kapasitinya di mana air telah mula disalurkan ke tangki-tangki utama sebelum dapat diagihkan kepada pengguna selepas tiga daripada empat unit pam yang rosak dibaik pulih.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor