BELIA JOHOR BERTUAH BERNAUNG DI BAWAH NAUNGAN TUNKU MAHKOTA ISMAIL

Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2025 telah disempurnakan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Golongan belia Johor disifatkan amat bertuah kerana sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang kekal komited dalam memperjuangkan masa depan anak muda negeri ini.
Di bawah naungan Baginda, golongan belia di Johor tidak lagi hanya sekadar menjadi penerima dasar, malah diiktiraf sebagai rakan strategik dalam merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan negeri meliputi penglibatan dalam perancangan polisi, pembangunan sosial serta aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak langsung kepada komuniti.
Komitmen Kerajaan Johor dalam usaha memperkasa golongan belia di negeri ini turut diterjemahkan menerusi peruntukan sebanyak RM9.7 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang melibatkan pembangunan dan pemerkasaan belia Johor, merangkumi program latihan, bimbingan, keusahawanan serta peluang memperluas jaringan kerjaya.
Selain itu, golongan belia Johor juga disifatkan sebagai tulang belakang utama untuk bersama-sama merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju. Ini termasuk usaha menangani isu ‘brain drain’ dan memastikan anak jati Johor terus dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, sekali gus menjayakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh peranan Majlis Belia Negeri Johor sebagai sebuah badan pemudah cara antara belia dan pentadbiran negeri serta memperluas penglibatan belia dengan meneliti pelaksanaan dasar penglibatan belia bermula seawal usia 16 tahun bagi memupuk budaya berpersatuan serta mempersiapkan generasi muda menghadapi alam dewasa.
Terdahulu, Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2025 telah disempurnakan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor di Toppen Shopping Centre.
Turut hadir, YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara; YBrs. Encik Shamsuhaime Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor serta YBrs. Mohammad Aliff Dato’ A. Rahim, Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ).
#HariBeliaNegara
#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor