KERJASAMA SMI, MRM TECHNOLOGY LAHIR MODAL INSAN BERKEMAHIRAN

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta dalam Belanjawan Johor 2025 untuk meneruskan inisiatif Program Pro-Mahir bagi menyokong matlamat menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri melalui Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor terus memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran menerusi Program Pro-Mahir dengan kerjasama Multi-Skill Resources Management (MRM) Technology.

 

Antara kursus yang sedang dilaksanakan adalah Kimpalan bagi meraih Certification Scheme for Personal (CSWIP) 3.0 dengan penyertaan 40 peserta selain Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Industri (Fasa 3) yang sudah tamat melibatkan 85 peserta dan telah menerima penempatan kerja.

 

Bagi kursus CSWIP 3.0, peserta bukan sahaja menerima latihan teknikal bertaraf industri malah berpeluang mendapat sijil profesional dalam tempoh dua minggu selepas tamat latihan dan berpotensi memperoleh tawaran gaji melebihi RM3,000 dengan jaminan kerjaya.

 

Melalui MRM Technology juga, beberapa kursus profesional turut akan dilaksanakan iaitu Pepasangan Sistem Solar Fotovoltaik dan Pendawaian (Fasa 1) serta Penghawa Dingin yang masing-masing menyasarkan 20 dan 90 peserta.

 

Semua kursus berkenaan dilaksanakan secara praktikal dan berstruktur dengan saringan awal melalui sesi temu duga bagi memastikan kualiti peserta yang diterima sekali gus manfaat dan kemahiran diterima selari dengan keperluan industri semasa.

 

Menerusi Program Pro-Mahir 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta dalam Belanjawan Johor 2025 untuk meneruskan inisiatif tersebut dan diperluas melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi menyokong matlamat menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

#WTN
#ProMahir
#SMIJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor