JOHOR PERANGI PEMBUANGAN SAMPAH HARAM

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menegaskan sudah tiba masanya untuk bertegas dan menghentikan sikap bertolak ansur terhadap pembuangan sampah di sungai mahupun merata tempat yang lain.
Justeru, beberapa langkah tegas dan radikal akan diambil oleh Kerajaan Johor dalam memperkukuh lagi aspek penguatkuasaan kebersihan termasuk menaikkan kadar kompaun minimum sebagai tanda amaran jelas kepada semua pihak bahawa kesalahan berkaitan pembuangan sampah adalah satu isu yang tidak boleh lagi dipandang ringan.
Selain itu, pindaan terhadap undang-undang sedia ada atau penggubalan akta baharu yang lebih relevan akan dikaji secara menyeluruh agar ia selari dengan cabaran semasa dan akan datang serta mampu memberi kesan pencegahan yang lebih berkesan demi menjadikan Johor sebagai negeri yang bersih, selamat dan lestari untuk generasi masa depan.
Sebuah Jawatankuasa Khas Menangani Pembuangan Sampah Haram juga akan ditubuhkan bagi memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu memperkukuh penguatkuasaan dan menyemak semula undang-undang kecil yang lapuk, memperluas pendidikan sivik serta kempen kesedaran awam secara lebih agresif dan memperkenalkan sistem pemantauan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di lokasi panas yang sering menjadi tempat pembuangan sampah secara haram.
Untuk rekod, sebanyak 2,206 kes pembuangan sampah telah direkodkan oleh 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor sepanjang tahun 2024 dengan jumlah kompaun bernilai RM654,210 manakala sebanyak 634 kes melibatkan kompaun RM202,700 telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#DewanNegeriJohor
#JohorBersih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor