ANDA SEDANG DIPERHATI DENGAN CCTV AI!

Sistem CCTV pintar ini disambungkan terus ke Pusat Kawalan MBJB bagi proses pemantauan waktu nyata dan tindakan segera. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Johor menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan terus memperhebatkan usaha menangani sikap dan aktiviti pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan penggunaan teknologi terkini yang lebih canggih, moden dan berkualiti.
Terbaharu, MBJB kini sedang menguji sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang turut dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan berfungsi dengan menggunakan tenaga solar. Menerusi teknologi itu, ia mampu
mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan dan pada masa sama dapat memberi amaran secara automatik kepada individu tidak bertanggungjawab yang cuba membuang sampah secara haram.
Sistem CCTV pintar ini juga turut disambungkan terus ke Pusat Kawalan MBJB bagi proses pemantauan waktu nyata dan tindakan segera, di mana pengujian awal telah dilaksanakan di lorong Jalan Dedap 4, Taman Johor Jaya yang merupakan antara lokasi yang sering menerima aduan berkaitan masalah lambakan sampah haram daripada penduduk setempat dan peniaga.
Sehingga kini, sebanyak 500 unit CCTV pintar telah dipasang di sekitar kawasan pentadbiran MBJB khususnya di lokasi panas. Bagi memastikan isu berkaitan sampah dan juga soal keselamatan akan terus diperkasakan, sebanyak 2,500 unit CCTV bakal dipasang di sekitar bandar raya ini menjelang 2030, sekali gus menyokong pelan rancangan inisiatif The Greater Johor Bahru.
Bagi memperkukuh lagi inisiatif ini, Jawatankuasa Khas Pembuangan Sampah Haram ditubuhkan untuk merangka pelbagai program kesedaran, mengkaji semula undang-undang sedia ada dan mencari kaedah baharu dalam mempertingkatkan tahap penguatkuasaan, sekali gus memastikan isu sampah haram dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
Terdahulu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan dan pemantauan pemasangan CCTV di Jalan Dedap 4, Taman Johor Jaya dalam usaha merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih dan selamat.
#WTN
#CCTVAI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor