JOHOR TERUS PERKASA INDUSTRI TERNAKAN

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merasmikan Majlis Perasmian Karnival Ruminan Johor 2025 yang berlangsung di Tapak AgroVet, Segamat. | Foto Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Johor terus bergerak agresif menjadikan sektor ruminan sebagai pemacu utama keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi luar bandar menerusi peruntukan berjumlah RM14.5 juta disediakan sejak tahun 2021 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif strategik serta insentif langsung secara berfasa.
Peruntukan signifikan tersebut menterjemah komitmen Kerajaan Negeri memperkasa industri ternakan ruminan merangkumi pembangunan infrastruktur, program peningkatan baka, kawalan penyakit dan pengurusan pemakanan serta kesihatan ternakan secara sistematik.
Sebanyak RM2.19 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Johor untuk melaksanakan lima program utama termasuk pembangunan industri ternakan ruminan besar, peningkatan infrastruktur ladang, kawalan penyakit, pembangunan sumber manusia dan program khas bagi menggalakkan penyertaan belia dalam industri pada tahun ini.
Pada masa sama, Johor memperkukuh sokongan kepada penternak menerusi pemberian insentif berjumlah RM1.45 juta diagihkan melalui empat program utama iaitu bantuan lembu pedaging dan pasung mudah alih, pembinaan pagar siklon, pemerkasaan Projek Agromix serta bantuan mesin perincih yang memanfaatkan seramai 35 penternak tempatan.
Komitmen itu selari dengan sasaran negeri untuk meningkatkan jumlah ternakan ruminan kepada 200,000 ekor menjelang 2027 iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding jumlah semasa seterusnya mendukung matlamat Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging dan Tenusu Negara (2021–2025) dalam aspek pengeluaran daging dan susu segar negara.
Sepanjang 2023 hingga 2024, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan lebih RM7 juta bagi pembangunan sektor ruminan melalui pelbagai program utama yang dimanfaatkan secara proaktif oleh Johor sekali gus menjadikannya antara negeri paling ke hadapan dalam mempercepat kemajuan industri berkenaan.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, hadir merasmikan Majlis Perasmian Karnival Ruminan Johor 2025 yang berlangsung di Tapak AgroVet, Segamat.
#KeterjaminanMakanan
#JohorFoodSecurity
#AgroVetSegamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor