KEMAJUAN PROJEK NAIK TARAF TERMINAL LARKIN SENTRAL CAPAI 52 PERATUS

Projek menaik taraf Terminal Larkin Sentral bagi meningkatkan imej sebagai terminal bas utama Johor Bahru bernilai RM2.5 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Status kemajuan projek menaik taraf Terminal Larkin Sentral bagi meningkatkan imej sebagai terminal bas utama Johor Bahru bernilai RM2.5 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri kini mencapai 52 peratus, mendahului jadual asal 48 peratus dan dijangka siap pada September ini.
Projek yang bermula sejak 8 April lalu itu melibatkan kerja-kerja pembinaan bumbung tambahan di pintu masuk utama, penyediaan patform bas berbumbung, pembaikan laluan masuk bas utama dan kerja menaik taraf pagar keselamatan di kawasan platform berlepas.
Selain itu, kerja-kerja menaik taraf tandas di Platform A turut berjalan lancar di mana tandas lelaki telah siap sepenuhnya pada 11 Jun lalu, manakala tandas wanita pula dijangka siap pada 8 September depan dan diharapkan projek secara keseluruhan siap sepenuhnya tanpa sebarang kelewatan.
Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan termasuk menaik taraf Terminal Larkin Sentral sebagai terminal pengangkutan awam terbesar di Johor Bahru itu dapat siap mengikut jadual demi keselesaan rakyat.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan projek menaik taraf Terminal Larkin Sentral yang sedang dilaksanakan.
#LarkinSentral
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor