FARMBYTE ARCHISEN TERAJUI PERTANIAN MODEN JOHOR

Ladang Vertikal Bangunan Farmbyte Archisen Sdn. Bhd. di Iskandar Puteri. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Pelancaran projek Ladang Vertikal Dalam Bangunan terbesar di Malaysia dan Singapura dibangunkan oleh FarmByte Archisen Sdn. Bhd. di Iskandar Puteri, menandakan detik bersejarah dalam transformasi landskap pertanian Johor ke arah teknologi moden.

 

Projek berkenaan menjadikan Farmbyte Archisen Sdn. Bhd. sebagai peneraju utama teknologi pertanian moden sejajar aspirasi Kerajaan Negeri memperkukuhkan sekuriti makanan selain memberi peluang kepada pelabur, penyelidik dan pemain industri meneroka potensi pertanian di Johor.

 

Selain itu, projek tersebut memperkukuh lagi pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Negeri Johor (J-ARDC) yang memfokuskan kepada penyelidikan, inovasi teknologi dan ekosistem pertanian digital di negeri ini.

 

Fasiliti berkeluasan 52,000 kaki persegi itu berfungsi sepenuhnya menggunakan teknologi pertanian berasaskan ‘Controlled-Environment Agriculture’ (CEA) yang mampu menghasilkan sehingga 306,000 kilogram hasil sayur-sayuran premium segar setahun.

 

Melibatkan pelaburan berjumlah RM40 juta, projek berkenaan turut membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap kemudahan menjalankan perniagaan selain kelancaran proses pelaksanaan yang bersifat mesra pelabur termasuk bantuan daripada agensi seperti Johor Corporation (JCorp).

 

Pada masa yang sama, projek itu juga menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan terutama dalam bidang pertanian moden sekali gus menandakan kesediaan Johor mendepani cabaran global dalam isu sekuriti makanan, perubahan iklim dan keterjaminan sumber.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir ke Majlis Pelancaran Ladang Vertikal Dalam Bangunan Farmbyte Archisen Sdn. Bhd. di Iskandar Puteri, hari ini.

 

#WTN
#Pertanian
#FarmbyteArchisen
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor