JOHOR DUKUNG KESELAMATAN NUKLEAR SERANTAU MELALUI MITSATOM 2025

YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Pembukaan Latih-Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear (MITSATOM 2025) di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan keselamatan dan keamanan serantau menerusi penyertaan dalam Majlis Pembukaan Latih-Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear melibatkan empat negara ASEAN utama iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura (MITSATOM 2025).
Sebagai sebuah negeri yang terletak di selatan tanah air dan berhampiran laluan maritim strategik, Johor kekal proaktif dalam memainkan peranan sebagai rakan kerjasama serantau, khususnya dalam aspek keselamatan, inovasi dan pemindahan pengetahuan.
MITSATOM 2025 yang dianjurkan bersempena Kepengerusian Ke-12 ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) oleh Malaysia ini menjadi antara platform strategik untuk menguji keupayaan operasi tindak balas sekiranya berlaku pengesanan sebarang bahan radioaktif di kawasan sempadan darat dan maritim.
Inisiatif ini amat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan respons pantas negara-negara ASEAN dalam menghadapi sebarang ancaman radiasi atau penyeludupan bahan nuklear yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan di rantau ini.
Program anjuran Jabatan Tenaga Atom ini turut menghimpunkan pakar antarabangsa daripada International Atomic Energy Agency (IAEA), melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura serta delegasi pemerhati dari negara anggota ASEANTOM lain seperti Brunei, Kemboja, Filipina, Laos, Myanmar dan Vietnam.
Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Pembukaan Latih-Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear (MITSATOM 2025) di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
#WTN
#MITSATOM2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor