KERAJAAN NEGERI KENAL PASTI LOKASI BINA SEKOLAH BAHARU

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, menziarahi dua murid yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sudah mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti lokasi di kawasan Taman Impian Emas dan Taman Pulai Flora untuk membina dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baharu.

 

Permohonan pembinaan dua sekolah yang sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan itu sebagai antara penyelesaian jangka panjang untuk memastikan murid bersekolah dekat dengan kediaman sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jarak jauh yang berisiko.

 

Selain itu, langkah diambil mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu keselamatan murid dari rumah ke sekolah menggunakan bas atau van yang melibatkan jarak dan komitmen menyediakan ekosistem pendidikan kondusif yang wajar dinikmati oleh anak Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menziarahi dua murid yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

 

Selain mendoakan semoga semua murid yang terlibat segera pulih, beliau percaya insiden tersebut menjadi iktibar seterusnya menguatkan iltizam untuk memperkukuhkan sistem pendidikan yang lebih selamat, saksama dan mampan demi masa depan generasi muda di negeri ini.

 

Kelmarin, sebuah van sekolah membawa 22 murid terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler muatan simen di mana tiga daripadanya mengalami kecederaan dalam kejadian di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor