JOHOR MAHU TERUS DOMINASI PEPERIKSAAN AWAM

Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Tahun 2024, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Negeri komited mengukuhkan reputasi Johor sebagai peneraju pendidikan di negara ini, susulan kejayaan mencatatkan keputusan mengatasi purata kebangsaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2024.
Menyifatkan pencapaian itu tidak bersifat sementara, Kerajaan Negeri berusaha memastikan kejayaan sama diraih dengan konsisten menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) selain strategi jangka panjang dan berimpak tinggi bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di Malaysia.
Antara faktor penting menyokong kejayaan diperoleh termasuk pendekatan bersasar dirangka melibatkan sekolah-sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) yang sentiasa berusaha menambah baik pencapaian dengan matlamat mengekalkan kecemerlangan secara berterusan.
Penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap sekolah di seluruh negeri ini turut membantu dalam menetapkan sasaran pencapaian realistik di samping pelaksanaan program peningkatan kemahiran murid, pembelajaran digital dan sokongan tambahan seperti Johor GEMS dan intervensi akademik.
Bagi menghargai usaha serta pengorbanan pendidik dan pelajar, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyumbang sebanyak RM103,600 kepada JPNJ atas kejayaan signifikan tersebut selain tambahan RM75,000 untuk melaksanakan Kajian dan Pembangunan Pelan Tindakan Kelestarian Negeri Johor 2025-2030.
Untuk rekod, Johor merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) mengatasi peringkat kebangsaan bagi peperiksaan STPM dan STAM manakala untuk SPM pula berjaya mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) Negeri melepasi GPN nasional pada tahun lalu.
Terdahulu, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Tahun 2024, hari ini. Turut hadir, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YBrs. Tuan Haji Mohd Hanafi Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor; YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YBhg. Encik Hishamuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor