HOSPITAL PASIR GUDANG MULA TERIMA KEMASUKAN PETUGAS KESIHATAN

Hospital Pasir Gudang (HPG) kini mula menerima petugas kesihatan dari seluruh negara. | Foto FB AH SOON.
#IskandarPuteri – Hospital Pasir Gudang (HPG) kini mula menerima petugas kesihatan dari seluruh negara yang ditempatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sebahagian daripada persiapan awal pembukaannya, awal tahun hadapan.
Petugas kesihatan ini ditempatkan mengikut keperluan jabatan masing-masing dan mereka juga sudah mula melaksanakan tugasan awal bagi memastikan kelancaran operasi, selain pelbagai peralatan perubatan dan bukan perubatan turut dihantar secara berperingkat untuk disusun serta didaftarkan sebelum ia dapat digunakan kelak.
Sebelum ini, tarikh pembukaan HPG yang dijadualkan beroperasi secara berperingkat pada 1 Ogos lalu ditangguhkan ke Januari 2026 berikutan beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas khususnya doktor dan jururawat.
Penangguhan tersebut turut dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan KKM bagi mengelakkan sebarang masalah operasi serta bagi memastikan hospital berupaya berfungsi dengan kapasiti optimum apabila dibuka kelak.
Projek pembinaan HPG yang melibatkan kos RM375.5 juta dibina di Bandar Seri Alam turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan kondusif merangkumi 304 katil, lapan bilik bedah dan 65 bilik konsultasi bagi rawatan pesakit luar serta turut menyediakan 14 perkhidmatan pakar.
#HospitalPasirGudang
#KesihatanBerkualiti
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor