BEKALAN AIR JOHOR LEBIH MAMPAN, TERJAMIN MENJELANG 2030

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan tinjauan ke LRA Semangar, Kota Tinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#KotaTinggi – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan pembinaan tiga projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bagi menyokong keperluan pengguna domestik, komersial serta industri pusat data di negeri ini.

 

Projek pembangunan sumber air utama itu adalah TAPS Sungai Johor bernilai RM605 juta dengan kapasiti 200 juta liter sehari (JLH) diikuti TAPS Sungai Pontian bernilai RM455.12 juta berkapasiti 100 JLJ dan TAPS Sungai Sedili bernilai RM572.4 juta yang berkapasiti 600 JLH dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.

 

Seiring dengan usaha tersebut, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (RSAJ) merancang pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu yang akan menambah kapasiti bekalan air terawat di seluruh negeri termasuk LRA Semangar 3 bernilai RM750 juta dengan kapasiti 200 JLH dan LRA Kayu Ara Pasong Fasa 1 bernilai RM504 juta yang berkapasiti 90 JLH.

 

Pembangunan LRA Sungai Sedili Besar yang merupakan projek terbesar bernilai kira-kira RM2.4 bilion dan berkapasiti 600 JLH juga dijangka akan dapat mewujudkan sinergi antara sumber air mentah dibangunkan melalui TAPS oleh PETRA dengan bekalan air terawat diuruskan oleh RSAJ menjelang tahun 2030.

 

Selain itu, Johor turut muncul sebagai negeri pertama menetapkan piawaian Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) sebanyak 1.8 liter bagi kegunaan pusat data selaras dengan amalan terbaik di Singapura, di samping Kecekapan Penggunaan Elektrik (PUE) pada paras 1.4 unit kilowatt bagi menggalakkan penggunaan teknologi lebih mesra alam.

 

Komitmen dalam memantau pembangunan pusat data di negeri ini telah dizahirkan oleh Kerajaan Negeri menerusi penubuhan ‘taskforce’ khas yang meneliti aspek bekalan air, tenaga, keselamatan siber dan impak komersial sekali gus membuktikan kesungguhan Johor untuk kekal sebagai peneraju dalam pembangunan pusat data berskala besar.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan tinjauan ke LRA Semangar, Kota Tinggi, hari ini. Turut hadir, YB Puan Rashidah Ismail, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Pasir Raja.

 

#JohorHomeOfChampions

#RanhillSAJ

#PusatData

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor