JOHOR SMART CITY FORUM 2025 HIMPUN NEGARA ASEAN

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 di Impiana Hotel, Senai. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Kulai – Johor terus memperkukuh agenda menuju ke arah sebuah negeri maju dan juga peneraju bandar pintar menjelang tahun 2030 dengan menganjurkan Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 yang bakal menghimpunkan penyertaan antarabangsa khususnya membabitkan negara-negara anggota ASEAN.

 

Buat pertama kalinya, JSCF 2025 membuka ruang kerjasama serantau dengan penyertaan delegasi dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura yang secara tidak langsung memberi peluang kepada Johor untuk bertukar pengetahuan teknologi, memperkukuh kerjasama dan mempelajari pendekatan bandar pintar yang sudah diamalkan di rantau ASEAN.

 

Johor menjadi antara negeri paling proaktif di Malaysia dengan kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dalam program penarafan bandar pintar apabila meletakkan sasaran lapan PBT akan mencapai taraf ‘Smart City Early Adopter’, manakala tujuh PBT lagi disasarkan mencapai status ‘Developing Smart City’ pada tahun ini.

 

Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Johor sebagai agensi bertanggungjawab menyelaras penarafan bandar pintar di negeri ini dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan membantu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapat pengiktirafan sebagai ‘Leading Smart City’ pada tahun ini.

 

Untuk rekod, MBJB berjaya mencapai status ‘Developing Smart City’ bersama-sama dengan Perbadanan Putrajaya pada tahun lalu, sekali gus menjadikan Johor sebagai peneraju utama dalam indikator pembangunan bandar pintar di negara ini.

 

Selain itu, inisiatif awal turut dirangka oleh Kerajaan Negeri bagi membangunkan sistem amaran bencana melalui penggunaan telefon pintar susulan kejadian gempa bumi lemah di Segamat semalam sebagai antara persediaan yang membolehkan rakyat menerima amaran lebih awal.

 

Edisi ketiga forum berkenaan akan berlangsung dari 22 hingga 24 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan bakal menghimpunkan lebih 40 pempamer yang mengambil bahagian, sekali gus menjadikannya penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 yang berlangsung di Impiana Hotel, Senai, hari ini.

 

Hadir sama ialah YBrs Encik Mohd Faizalnizam Md. Zain, Timbalan Pengarah PLANMalaysia Johor; YBrs Tuan Haji Mohd Farid Hassan, Setiausaha MBJB dan YBrs Tuan Haji Ts. Azmee Awang, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

 

#JohorSafeZone
#JohorSmartCityForum
#JSCF2025
#BandarPintar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor