PERUNTUKAN TAMBAHAN RM56 JUTA BUKTI KESUNGGUHAN AGENDA BANDAR PINTAR JOHOR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Perasmian JSCF 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Kesungguhan Kerajaan Johor dalam usaha menjayakan agenda Bandar Pintar sekali lagi dizahirkan apabila sebanyak RM56 juta peruntukan tambahan bakal disalurkan kepada 16 pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri ini pada tahun depan.

 

Ia sekali gus menjadikan jumlah peruntukan bagi pembangunan inisiatif Bandar Pintar Johor kini mencecah sebanyak RM156 juta sejak ia dilaksanakam pada 2023 yang secara tidak langsung membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh aspirasi untuk mencapai status ‘negeri pintar’ menjelang 2030.

 

Peruntukan ini merangkumi pelbagai aspek termasuk infrastruktur digital pintar, keselamatan, mobiliti pintar, kemudahan komuniti serta peningkatan kualiti perkhidmatan awam agar ia dapat memudahkan kehidupan rakyat dan meningkatkan tahap keselamatan kawasan kejiranan di setiap kawasan PBT.

 

Usaha berkenaan meliputi penambahan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar, pengoperasian lampu isyarat pintar, sistem parkir pintar, sistem pemantauan banjir dan kualiti udara masa nyata serta banyak lagi inisiatif lain berdasarkan kepada indikator piawaian penarafan bandar pintar yang sudah ditetapkan.

 

Sempena penganjuran Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 September ini, sebanyak tujuh PBT menerima Pelan Tindakan PBT Negeri Johor sebagai perancangan bagi memenuhi indikator penarafan bandar pintar yang dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bagi tujuan mencapai taraf ‘Smart City Early Adopter’.

 

Antara PBT yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Mersing dan Majlis Daerah Labis (MDL).

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Perasmian JSCF 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorSmartCityForum
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor