JOHOR, HARVARD KUKUH KERJASAMA BANGUNKAN KAJIAN KES JS-SEZ

Kerajaan Negeri menjalin kerjasama strategik dengan Harvard Kennedy School – Center for International Development (CID), institusi terkemuka dunia dalam tadbir urus, kepimpinan dan pembangunan mampan. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus melangkah ke hadapan di pentas global apabila menjalin kerjasama strategik dengan Harvard Kennedy School – Center for International Development (CID), salah sebuah institusi terkemuka dunia dalam bidang tadbir urus, kepimpinan dan pembangunan mampan.
Langkah tersebut sebagai menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan kolaborasi bersama institusi terbaik di peringkat dunia demi membangunkan modal insan negeri.
Perkembangan berkenaan dikongsikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor susulan lawatan delegasi Kerajaan Negeri ke Harvard Kennedy School di Massachusetts, Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kepimpinan dan inovasi pembangunan mampan, baru-baru ini.
Antara dapatan penting lawatan itu termasuk kesepakatan kedua-dua pihak membangunkan kajian kes pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal menjadi rujukan penting dalam menilai reka bentuk institusi, strategi pembangunan bakat dan keberkesanan sebagai model pembangunan serantau.
Selain itu, Johor dan Harvard turut akan meneroka program pembangunan bakat dan kepimpinan melalui Executive Education di institusi pendidikan tersebut yang memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti jangka panjang untuk pentadbiran negeri serta kesejahteraan rakyat.
Kerajaan Negeri yakin kerjasama bersejarah itu akan mengangkat Johor ke pentas antarabangsa malah dapat diterjemahkan secara langsung kepada rakyat melalui pentadbiran lebih berkesan, pengukuhan institusi dan peningkatan daya saing generasi muda demi kemakmuran negeri.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JSSEZ
#HarvardKennedySchool
#TadbirUrusKerajaan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor