RAKYAT MALAYSIA DISERU BERSATU PERTAHAN MARUAH BOLA SEPAK NEGARA

Isu kepentingan pasukan kebangsaan tidak wajar dipikul bersendirian oleh DYAM Pemangku Sultan Johor, sebaliknya seluruh rakyat perlu bersatu mempertahankan Harimau Malaya daripada sebarang usaha memperlekehkan imej negara oleh FIFA. | Foto FB Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
#IskandarPuteri – Rakyat Malaysia diseru untuk berdiri teguh bersama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam memperjuangkan dan membela maruah bola sepak negara di peringkat antarabangsa.
DYAM Pemangku Sultan Johor tidak wajar dibiarkan bersendirian dalam isu melibatkan kepentingan pasukan kebangsaan, sebaliknya seluruh rakyat mesti bersatu hati dalam mempertahankan Harimau Malaya daripada sebarang cubaan memperlekehkan imej negara oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, maruah negara tidak boleh dipertikaikan kerana setiap proses penilaian FIFA telah melalui tapisan ketat, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menunaikan tanggungjawab dengan menyerahkan dokumen lengkap diperlukan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Justeru, semua EXCO Sukan Negeri, Menteri dan pihak berkepentingan diseru bersatu untuk menyatakan solidariti mempertahankan kepentingan negara serta memastikan Harimau Malaya tidak dihina di pentas antarabangsa.
Usaha kepimpinan baharu FAM yang kini giat merejuvenasi skuad kebangsaan wajar diberikan sokongan penuh kerana Harimau Malaya bukan sekadar pasukan bola sepak, tetapi simbol maruah Malaysia yang mesti dipertahankan bersama.
#JohorSafeZone
#HarimauMalaya
#TheTMJEffect
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor