MPKu TUBUH JFP, PERKASA DAYA TARIKAN PELABURAN KE KULAI

Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menubuhkan Jabatan Fasilitasi Pelabur (JFP) sebagai pemudah cara pelaburan, sekali gus memperkukuh kedudukan daerah Kulai dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). | Foto FB Majlis Perbandaran Kulai
#IskandarPuteri – Landskap pelaburan Johor terus diperkuat dengan langkah proaktif yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dengan menubuhkan Jabatan Fasilitasi Pelabur (JFP) yang berperanan sebagai fasilitator dan pemudah cara kepada para pelabur, melengkapkan beberapa inisiatif terdahulu yang telah dilaksanakan seterusnya pemangkin kepada pelaburan di daerah berkenaan yang juga sebahagian daripada wilayah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Penubuhan JFP merupakan inisiatif strategik yang berpaksikan kepada Projek Ibrahim Technopolis (IBTEC) selepas ia diiktiraf sebagai Projek Khas Negeri oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor pada 19 Disember 2023 sebelum JFP ditubuhkan secara rasmi pada 11 Jun lalu menjadikan ia sebagai tonggak penting dalam menyokong pembangunan kawasan perindustrian baharu yang berimpak tinggi.
JFP diwujudkan bukan sekadar untuk melancarkan urusan pentadbiran berkaitan pelaburan, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh promosi dan pemasaran kawasan industri di Kulai. Selain itu, ia juga berfungsi untuk membuat perancangan serta memantau pembangunan kawasan industri secara menyeluruh, termasuk penerapan teknologi digital yang menyokong inisiatif konsep bandar pintar.
Jabatan berkenaan juga akan turut menjalin kerjasama erat bersama Johor Corporation (JCorp) bagi menubuhkan Bahagian IBTEC di bawah JFP, sekali gus melengkapkan struktur organisasi serta memantapkan lagi fungsi jabatan bagi memastikan pelabur menikmati proses yang lebih cepat, teratur dan kondusif.
Selain itu, JFP juga diberikan mandat untuk mengurus kawasan perindustrian bersepadu yang turut dilengkapi dengan ciri bandar pintar, lestari dan mampan seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran perniagaan moden yang menepati piawaian antarabangsa.
Penyelenggaraan infrastruktur awam serta kemudahan asas turut menjadi tanggungjawab JFP dalam usaha memastikan kelestarian jangka panjang kawasan IBTEC, sekali gus meletakkan Kulai dan Johor sebagai hab pelaburan utama yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
#JohorSafeZone
#MajlisPerbandaranKulai
#JabatanFasilitasiPelabur
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor