MBJB GIAT LAKSANA TEBATAN BANJIR BERNILAI RM17.1 JUTA HADAPI MTL

Kesemua projek tebatan banjir MBJB merangkumi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan, pintu air, sistem pam dan pembetungan, pembinaan kolam takungan banjir, tembok parit runtuh, penyelenggaraan kolam tadahan serta penggalian mendakan sungai. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberikan komitmen tinggi sebagai kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini, termasuk pelaksanaan sembilan projek tebatan banjir bernilai RM17.1 juta.
Daripada jumlah berkenaan, enam projek telah siap sepenuhnya, manakala baki tiga lagi sedang giat dilaksanakan secara agresif untuk memastikan usaha mitigasi di kawasan pentadbirannya dapat disiapkan sebelum MTL bermula.
Kesemua projek tebatan banjir tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan, pintu air, sistem pam dan pembetungan, pembinaan kolam takungan banjir, tembok parit runtuh, penyelenggaraan kolam tadahan serta penggalian mendakan sungai.
Selain itu, MBJB juga mengenal pasti 23 kawasan ‘hotspot’ banjir di bandar raya Johor Bahru melibatkan lembangan Sungai Skudai, Selat Johor dan Sungai Tebrau/Plentong dengan projek tebatan banjir di 18 lokasi berjaya diselesaikan, sementara baki lima lagi sedang giat dilaksanakan.
Persediaan menghadapi MTL tahun ini juga meliputi persiapan tujuh dewan raya yang telah diwartakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan pengoperasian Bilik Gerakan Bencana MBJB untuk membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan Negeri.
Sementara itu, kajian menyeluruh akan dilaksanakan MBJB dengan kerjasama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pakar berkaitan bagi menilai semula tahap keselamatan bangunan di kawasan bandar raya susulan kejadian gempa bumi lemah di Segamat pada bulan lalu.
Kajian tersebut merangkumi penilaian semula keperluan penetapan piawaian baharu terhadap syarat pembinaan bangunan sedia ada bagi memastikan premis lebih selamat dan berupaya mengurangkan risiko kerosakan besar sekiranya berlaku kejadian sama.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar MBJB mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 9/2025 pada Rabu. Turut hadir, YBhg. Tuan Haji Mohd Farid Hassan, Setiausaha MBJB dan YBrs. Dato’ A. Aziz Ahmad, Ketua WHIP MBJB.
#JohorSafeZone
#MBJB
#JohorBahru
#MonsunTimurLaut
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor