MALAYSIA, INDONESIA DAN SINGAPURA METERAI MoU PERKUKUH BUDAYA, WARISAN

YBhg. Encik Nor Syazlan Abd Razak, Pengarah YWJ pada Majlis Menandatangani MoU bersama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru dan Taman Warisan Melayu, Singapura serta Sidang Media Wonderful Nusantara Festival (WNF) 2025 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

#JohorBahru – Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) terus memperkukuh diplomasi budaya melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru dan Taman Warisan Melayu, Singapura.

 

Melalui MoU ini, penganjuran program ‘Wonderful Nusantara Festival’ dijangka akan terus menjadi platform utama dalam usaha menyatukan dan perkongsian budaya Nusantara di peringkat Asia Tenggara.

 

Lebih menarik, ‘Wonderful Nusantara Festival’ dijangka akan menerima penglibatan lebih meluas daripada beberapa negara ASEAN lain apabila penganjuran festival ini turut mendapat perhatian daripada Brunei dan Filipina yang turut menyatakan komitmen mereka untuk menyertai festival sama pada tahun depan.

 

Langkah ini secara tidak langsung menepati hasrat Kerajaan Negeri yang kini sedang bersiap sedia menganjurkan Tahun Melawat Johor 2026 tidak lama lagi, di mana festival ini dijangka akan turut dijenamakan semula bagi mencerminkan peluasan penyertaan dan penglibatan rakan serantau yang baharu.

 

Usaha ini juga menjadi simbol komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan kerjasama kebudayaan dan kesenian di antara Malaysia, Indonesia dan Singapura, sekali gus membuka dimensi baharu kepada pertukaran idea, persembahan seni serta pelancongan berasaskan warisan. Ia secara tidak langsung dapat memperkasakan kedudukan Johor sebagai hab budaya bagi negara serantau.

 

Sempena Wonderful Nusantara Festival 2025, penganjuran program ini terus mendapat sambutan daripada rakan kolaborasi baharu iaitu penyertaan rasmi daripada Kerajaan Thailand melalui Bunditpatanasilpa Institute of Thailand dan juga daripada Majlis Seni Sarawak dengan sasaran kehadiran seramai 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

 

Wonderful Nusantara Festival yang memasuki edisi ketiga penganjurannya merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran di Johor Bahru pada tahun 2023 dan di Taman Warisan Melayu, Singapura pada tahun 2024, ia telah berjaya menampilkan kepelbagaian ragam budaya Nusantara, selain berperanan penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi warisan di rantau ini.

 

Terdahulu, YBhg. Encik Nor Syazlan Abd Razak, Pengarah YWJ hadir ke Majlis Menandatangani MoU bersama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru dan Taman Warisan Melayu, Singapura serta Sidang Media Wonderful Nusantara Festival (WNF) 2025 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), Johor Bahru, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#WNF2025
#WarisanNusantara
#YayasanWarisanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor