JOHOR PERUNTUK RM134 JUTA PASTIKAN NEGERI SELAMAT, BERSIH DAN LESTARI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membawa dokumen Belanjawan Johor 2026 dalam beg khas diperbuat daripada Kain Benang Johor Corak Muar bermotifkan lada hitam biru, hasil tenunan Galeri Tenun Johor, Yayasan Warisan Johor sempena pembentangan Belanjawan Johor 2026 di Dewan Negeri Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM134 juta pada Belanjawan Johor 2026 bagi melaksanakan 21 inisiatif di bawah Teras Kelima: Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar dalam usaha memastikan Johor terus kekal selamat, bersih dan lestari, selaras dengan hasrat membina negeri seimbang antara kemajuan fizikal dan kesejahteraan rakyat.

 

Sebanyak RM22.6 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina baharu sistem perparitan, longkang serta kolam tadahan di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir, manakala RM9.6 juta pula disediakan bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang merangkumi kajian serta projek pengurangan risiko banjir.

 

Selain itu, sejumlah RM7 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf lembangan sungai dan ‘log boom’ manakala RM2.55 juta disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja pengawalan hakisan pantai dan RM3.36 juta pula bagi menaik taraf sistem saliran pertanian di seluruh negeri ini.

 

Kerajaan Negeri turut menumpukan perhatian terhadap pengurusan sungai dan kelestarian alam menerusi peruntukan RM1.65 juta bagi kerja penggalian muara sungai, RM1.2 juta untuk tujuan naik taraf komponen mekanikal dan elektrikal di pintu-pintu air, RM880,000 bagi pembinaan serta naik taraf stesen telemetri di pintu air sungai dan RM736,000 untuk pengelasan peta ‘mikrozonasi seismik’ di daerah Segamat.

 

Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian pula, Kerajaan Johor memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi penganjuran Johor Green Deal Summit, manakala RM7 juta disediakan untuk melaksanakan agenda Transformasi Sungai Johor bagi menangani isu pencemaran air serta memperindah kawasan tebing sungai berkenaan.

 

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan ‘Raja Zarith Sofiah Learning Centre’, hasil kerjasama Pusat Kelestarian Johor (JSC) dan Saitama City Hall, Jepun yang bakal menjadi pusat pembelajaran berasaskan prinsip kelestarian dan inovasi hijau, manakala RM700,000 diperuntukkan bagi meneruskan Program Johor Bersih.

 

Selain itu, sejumlah RM1.39 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penandaan dan penyelenggaraan sempadan hutan, RM450,000 untuk pemulihan dan restorasi hutan, RM560,000 bagi pembangunan data persempadanan taman-taman negara Johor dan RM225,000 untuk pengurusan habitat harimau di Taman Negara Endau-Rompin.

 

Kerajaan Negeri juga menumpukan pembangunan bandar selamat dan moden dengan peruntukan sebanyak RM52.25 juta untuk menaik taraf landskap, taman awam dan laluan pejalan kaki, RM13 juta bagi Transformasi Bandaraya Johor Bahru, RM10.53 juta untuk pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan utama serta RM1 juta untuk penganjuran Forum Bandar Pintar Johor (JSCF), sekali gus menyokong visi Johor sebagai ‘Smart State’ di Malaysia.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor