KPIBKS SAMBUT BAIK INISIATIF KERAJAAN JOHOR UNTUK PIBG DAN PIBKS

KPIBKS menyambut baik peruntukan RM2.95 juta daripada Kerajaan Negeri Johor bagi memperkasakan PIBG dan PIBKS di seluruh negeri. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

#IskandarPuteri – Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Negeri Johor yang buat julung kalinya menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.95 juta bagi memperkasakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) di seluruh negeri ini.

 

YBhg. Datuk Yahya Jaafar, Focal Person KPIBKS Kebangsaan dan Negeri Johor memberitahu, pengumuman berkenaan adalah satu usaha bersejarah dalam memperkukuh peranan komuniti pendidikan di peringkat akar umbi apabila sebanyak 1,780 buah sekolah kebangsaan dan sekolah agama kerajaan termasuk 10 PIBKS daerah bakal menerima manfaat secara langsung daripada peruntukan berkenaan.

 

Belanjawan Johor 2026 yang diumumkan pada Khamis lalu memperlihatkan keprihatinan tinggi Kerajaan Negeri Johor terhadap pembangunan pendidikan selaras dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan aspek pendidikan sebagai teras utama kemajuan negeri.

 

Peruntukan ini dijangka memberi impak besar dalam membantu PIBG dan PIBKS melaksanakan pelbagai inisiatif di sekolah termasuk pembangunan prasarana, program sahsiah, aktiviti kokurikulum dan pelaksanaan pembelajaran digital mengikut dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

 

KPIBKS melihat langkah ini juga sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan sekolah-sekolah, khususnya di kawasan penempatan ramai golongan berpendapatan rendah B40 akan terus mendapat sokongan yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti pendidikan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kutipan PIBG.

 

Selain itu, KPIBKS turut merancang memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama sektor swasta melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selain membangunkan model pengurusan kewangan yang lebih mampan bagi memperluas sumber kewangan dan memperkasa penglibatan seramai mungkin komuniti dalam pendidikan negeri.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor