40 MESIN AED PERKUKUH KESIAPSIAGAAN KECEMASAN JOHOR

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Peluncuran Pemasangan 40 Mesin AED di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda kesihatan awam dengan pemasangan 40 unit ‘Automated External Defibrillators’ (AED) yang dilaksanakan menerusi inisiatif MyAED4U yang kini diletakkan di pelbagai kawasan strategik dan tumpuan utama di seluruh negeri ini.
Menerusi peruntukan berjumlah RM360,000 pada Belanjawan Johor 2025 lalu, inisiatif MyAED4U ini memberi fokus kepada kesiapsiagaan awal dalam menghadapi insiden serangan jantung serta meningkatkan peluang ‘survival’ mangsa sebelum ketibaan bantuan perubatan.
Pemasangan AED ini melibatkan semua Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta beberapa lokasi awam dan sukan seperti Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Zoo Johor dan kawasan rekreasi, sebelum ia juga akan diperluaskan ke lokasi lain mengikut keberkesanan inisiatif tersebut.
Selain pemasangan sistem bantuan perubatan awal itu, latihan penggunaan peralatan berkenaan akan turut diberikan kepada wakil yang berada di setiap lokasi berkenaan bagi memastikan semua mesin terbabit boleh dioperasikan dengan cekap.
Sementara itu bagi aspek penyelenggaraan dan sokongan teknikal pula akan dipantau oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Khidmat Pengurusan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Peluncuran Pemasangan 40 Mesin AED di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.
#JohorSafeZone
#MyAED4U
#Kesihatan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


