PERANAN AHLI MAJLIS DIPERKUKUH BAGI CAPAI AGENDA MAJU JOHOR 2030

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Konvensyen Ahli Majlis PBT Negeri Johor di Dewan Kenanga, Menara MBJB. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Semua Ahli Majlis di setiap peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu memainkan peranan masing-masing dengan berkesan terutama dalam memastikan agenda besar Maju Johor 2030 akan benar-benar dapat dicapai.
Bagi tujuan itu, Ahli Majlis yang juga selaku ‘wakil rakyat kecil’ di kawasan zon masing-masing perlu memberikan tumpuan dalam menyokong dan menjayakan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri seperti Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor yang turut menjadi sandaran kepada kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih cepat dan tersusun.
Pada Belanjawan Johor 2026, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.65 juta bagi menggerakkan serta memperluas pelaksanaan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor dan untuk menjayakan inisiatif ini, setiap Ahli Majlis perlu menjadi antara ‘tulang belakang’ utama bagi membolehkan pendekatan baharu itu akan dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
Pelaksanaan fasa pertama pusat aduan bersepadu itu bakal dimulakan di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebagai projek perintis, manakala fasa kedua pula akan melibatkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), sebelum ia juga akan diperluaskan ke semua PBT lain di seluruh negeri ini.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Konvensyen Ahli Majlis PBT Negeri Johor di Dewan Kenanga, Menara MBJB, hari ini.
Sementara itu, pada majlis yang sama seramai 384 Ahli Majlis dari 16 PBT diraikan dan menerima sijil perkhidmatan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen serta prestasi mereka dalam menjalankan tugas di peringkat komuniti.
#JohorSafeZone
#AhliMajlis
#PBT
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


