IBTEC KUATKAN PERANAN JOHOR SEBAGAI DESTINASI PELABURAN UTAMA

YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, selaku wakil rasmi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, berangkat ke Majlis Pelancaran Ibrahim Technopolis di Dataran Mahkota. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju pembangunan ekonomi strategik di negara ini menerusi pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang dibangunkan di lokasi seluas 7,920 ekar, selain berada ia juga terletak di ‘kawasan emas’ Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

IBTEC yang dibangunkan sebagai hab inovasi terbesar Asia dengan mengintegrasikan sektor bernilai tinggi seperti teknologi perubatan, sains hayat, pembuatan termaju, logistik moden, pusat data dan agriteknologi.

 

Berkonsepkan ‘innovation sandbox’, IBTEC adalah dunia nyata yang diterapkan bagi membolehkan industri, penyelidik dan pembangun teknologi menguji serta memperhalusi penyelesaian baharu dalam persekitaran sebenar sebelum ia dipasarkan ke peringkat serantau.

 

IBTEC juga bakal menjadi platform sedia menerima pelabur (investor-ready) dengan prasarana utiliti, jaringan pengangkutan dan infrastruktur digital bagi menyokong syarikat untuk memulakan operasi dengan lebih pantas dan efisien.

 

Hab tersebut juga menempatkan pusat data dan perbandaran industri pertama negara yang turut menerima penarafan tertinggi 5-Diamond di bawah Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF), sekali gus memperkukuh nilai ikoniknya melalui pembinaan Livilab di Exclaim Discovery City yang direka oleh Zaha Hadid Architects sebagai mercu tanda inovasi global baharu Johor.

 

Apabila beroperasi sepenuhnya, IBTEC dijangka berupaya mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global serta membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk turut sama menikmati ekosistem industri bersepadu yang inklusif dan dinamik.

 

Terdahulu, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, selaku wakil rasmi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, berangkat ke Majlis Pelancaran Ibrahim Technopolis di Dataran Mahkota hari ini.

 

Hadir sama ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi JCorp; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp.

 

#JohorSafeZone
#IbrahimTechnopolis
#JohorHomeOfChampions
#JohorCorporation
#JLandGroup
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor