LEBIH 50 LAPORAN POLIS DIBUAT BERHUBUNG ISU PENGHINAAN INSTITUSI DIRAJA JOHOR

YB Tuan Aznan Tamin dan YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. | Foto FB Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Lebih 50 laporan polis berhubung isu penghinaan terhadap DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kini dibuat secara meluas di seluruh negeri ini melibatkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, wakil rakyat, pimpinan masyarakat dan individu perseorangan.
Antara yang tampil membuat laporan polis berkenaan ialah persatuan belia di peringkat negeri serta daerah terdiri daripada Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing dan Majlis Belia OKU Johor.
Turut membuat laporan polis ialah beberapa pertubuhan belia dan kepimpinan kawasan dari Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, Pagoh, Mersing, Muar, Segamat dan Kulai, selain penglibatan wakil-wakil masyarakat di peringkat daerah seperti Mersing, Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Labis.
Selain itu, lebih 20 Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor merangkumi kawasan seperti Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok dan Semerah turut tampil membuat laporan polis bagi menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu berkenaan.
Kesemua laporan polis tersebut dibuat susulan kenyataan yang dibuat oleh Fahmi Reza yang didakwa bersifat menghasut serta menghina DYAM Pemangku Sultan Johor dan Institusi Diraja Johor, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat khususnya di Johor.
Sehingga kini, lebih 50 laporan polis telah dibuat sebagai tanda solidariti dan kesepakatan masyarakat di negeri ini dalam mempertahankan maruah Institusi Diraja Johor serta menolak sebarang bentuk penghinaan yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.
#JohorSafeZone
#SolidaritiJohor
#HormatInstitusiDiraja
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



