SEMBILAN PELAJAR ORANG ASLI JOHOR HARUMKAN NAMA NEGARA DI IRO KE-27

Pelajar daripada SK Pengkalan Tereh, Kluang telah memenangi Pingat Emas dalam Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) | Foto PETROSAINS

 

#IskandarPuteri – Sembilan pelajar Orang Asli dari Johor membuktikan keupayaan mereka di peringkat antarabangsa apabila mencipta kejayaan cemerlang dalam Pertandingan Olimpiad Robot Antarabangsa (IRO) Ke-27 yang berlangsung di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.

 

Kejayaan itu tercipta apabila pelajar berkenaaan yang masing-masing dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Tereh, Kluang; SK Kampong Layau, Kota Tinggi dan SK Sayong Pinang, Kulai berjaya merangkul pingat emas, gangsa serta beberapa Anugerah Teknikal pada kejohanan berprestij itu.

 

Pada kejohanan sama, pelajar daripada SK Pengkalan Tereh, Kluang telah memenangi Pingat Emas dalam Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) yang mengetengahkan idea penerokaan planet Marikh melalui rekaan dua robot berkoordinasi, melibatkan sistem navigasi dan sensor pengumpulan data.

 

Selain itu, pelajar SK Kampong Layau, Kota Tinggi pula meraih pingat gangsa menerusi pembangunan robot kawalan jauh bagi eksplorasi planet yang mampu mengesan serta mengelak halangan. Ia secara tidak langsung menyerlahkan kreativiti, fleksibiliti dan kemahiran teknikal praktikal pelajar dalam menyelesaikan cabaran yang kompleks.

 

Sementara itu, pelajar SK Sayong Pinang, Kulai pula meraih dua Anugerah Teknikal bagi Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) dan ‘Creative Movie’ (Tingkatan Rendah), sekali gus membuktikan keupayaan pelajar Orang Asli Johor dalam menguasai inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah berasaskan teknologi robotik.

 

Ia adalah hasil daripada persiapan rapi yang dilakukan oleh guru dan pelajar yang sebelum ini telah mengikuti Bootcamp Finalis IRO di Pusat Sains Negara sempena Minggu Sains Negara pada November 2025 bagi memperkukuh aspek teknikal, pembentangan dan kesiapsiagaan pertandingan sebelum menyertai kejohanan antarabangsa yang berlangsung dari 17 hingga 21 Disember lalu.

 

#JohorSafeZone
#OrangAsliJohor
#IRO27
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor