HASIL NEGERI DIPULANGKAN, BANGSA JOHOR SAMBUT SYAWAL DENGAN KESYUKURAN

Inisiatif BKJ yang dirangka ini menyentuh pelbagai lapisan masyarakat — ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, pemandu teksi dan e-hailing, petani, nelayan, pelajar universiti, pesara pasukan keselamatan serta pekerja perkhidmatan sokongan yang lain. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

 

 

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

1. Ketika Ramadan menghampiri penghujungnya dan Bangsa Johor membuat persiapan menyambut kehadiran Syawal, persoalan yang bermain di fikiran ramai ialah bagaimana rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup bagi meraikan Aidilfitri kali ini. Di Johor, jawapannya jelas — Kerajaan Negeri memastikan rakyat sesekali tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran ini.

 

2. Melalui pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) berjumlah RM125 juta kepada hampir 459,000 penerima di seluruh negeri pada Ramadan ini, Kerajaan Johor sekali lagi membuktikan komitmennya bahawa hasil negeri yang diraih akhirnya dikembalikan semula kepada rakyat.

 

3. Bantuan ini bukan sekadar angka, sebaliknya ia diterjemahkan dalam bentuk sokongan yang berupaya membantu Bangsa Johor menjalani ibadah puasa Ramadan dengan lebih tenang serta menyambut Aidilfitri dengan penuh senyuman.

 

4. Inisiatif BKJ yang dirangka ini menyentuh pelbagai lapisan masyarakat — ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, pemandu teksi dan e-hailing, petani, nelayan, pelajar universiti, pesara pasukan keselamatan serta pekerja perkhidmatan sokongan yang lain. Pendek kata, bantuan ini jelas memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri.

 

5. Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada penjawat awam negeri sebagai penghargaan atas komitmen mereka dalam memastikan pentadbiran serta perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat terus berjalan dengan baik.

 

6. Tidak dilupakan juga penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor apabila Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan insentif khas sebanyak RM500 kepada setiap seorang sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka yang sama-sama telah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri ini.

 

7. Langkah ini mencerminkan pendekatan pentadbiran Johor yang sentiasa menumpukan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kejayaan ekonomi negeri tidak hanya diukur melalui angka pelaburan atau hasil, tetapi bagaimana manfaat tersebut dapat dirasai secara langsung oleh rakyat secara keseluruhan tanpa ada yang terkecuali.

 

8. Hakikatnya, Johor kini berada pada kedudukan ekonomi yang semakin kukuh. Negeri ini mencatat rekod nilai pelaburan asing tertinggi serta hasil negeri tertinggi dalam sejarahnya, memperlihatkan keyakinan pelabur terhadap potensi masa depan yang ada pada Johor.

 

9. Namun yang lebih penting, kejayaan ekonomi Johor ini telah diterjemahkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan, program kebajikan dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian Bangsa Johor.

 

10. Inilah keunikan pendekatan pembangunan Johor. Kemajuan negeri tidak hanya dinikmati oleh sektor industri atau pelaburan semata-mata, tetapi turut sampai ke dapur keluarga, ke rumah ibu tunggal dan ke kehidupan golongan yang amat memerlukan.

 

11. Maka tidak hairanlah apabila Bangsa Johor dapat menyambut Ramadan dan Syawal dalam suasana yang lebih tenang dan penuh kesyukuran. Di sebalik pertumbuhan ekonomi yang pesat, wujud sebuah pentadbiran yang cakna dan bertanggungjawab dalam memastikan tiada rakyat yang ditinggalkan.

 

12. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas panduan dan keprihatinan berterusan yang memastikan kemajuan ekonomi negeri sentiasa diterjemahkan kepada manfaat yang kini telah dirasai oleh seluruh Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor