BKJ RINGANKAN BEBAN PETUGAS AGAMA

Perhatian Kerajaan Negeri terhadap golongan yang berkhidmat di rumah ibadat mencerminkan kepimpinan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat, selain turut mendoakan agar Johor terus diberkati dan segala urusan pentadbirannya dipermudahkan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Kluang – Kumpulan pegawai masjid, surau dan tenaga penggerak agama di seluruh negeri ini menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang terus menjaga kebajikan golongan berkenaan.

 

Ia secara tidak langsung memberi kelegaan kepada mereka yang turut sama berdepan dengan kesan kos sara hidup yang semakin meningkat, sekali gus membantu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan terbabit.

 

Bagi Rosli Hashim, Imam Masjid Kampung Seri Maju Jaya, menyifatkan bantuan RM1,000 yang disalurkan secara dua fasa pada Disember tahun lalu dan Mac ini sebagai rezeki yang membantu memudahkan urusan petugas agama dalam meneruskan amanah untuk mendidik masyarakat.

 

Beliau berkata, perhatian Kerajaan Negeri terhadap golongan yang berkhidmat di rumah ibadat mencerminkan kepimpinan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat, selain turut mendoakan agar Johor terus diberkati dan segala urusan pentadbirannya dipermudahkan.

 

Sementara itu, bagi Mohd Yusof Ali, Imam Surau Al-Ukhuwwah, Kampung Palembang Lama pula menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai suntikan semangat kepada petugas agama untuk terus mengimarahkan surau melalui program ilmu, bimbingan al-Quran dan aktiviti kerohanian.

 

Menurutnya, bantuan yang diagihkan dalam dua fasa itu membuktikan Kerajaan Negeri bukan sahaja membantu meringankan beban, malah turut memahami keperluan golongan yang berperanan mendekatkan umat Islam dengan Allah serta memperkukuh penghayatan ilmu agama.

 

Penyaluran Bantuan Kasih Johor ini juga melibatkan pegawai masjid dan surau, penggerak Dewan Negeri Johor (DUN), guru al-Quran, guru takmir serta penyelia al-Quran, sekali gus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pendekatan yang berteraskan nilai ihsan dan kepimpinan berwibawa.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor