PELABURAN TINGGI, KESEJAHTERAAN RAKYAT TERUS JADI KEUTAMAAN

Seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, Kerajaan Negeri berazam untuk memastikan soal pembangunan perumahan akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap rakyat tidak terpinggir daripada arus kemajuan negeri. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kejayaan Johor merekodkan pelaburan tertinggi berjumlah RM110 bilion bagi tahun 2025 turut menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan Johor memperkukuh agenda perumahan supaya lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman yang lebih selesa, selamat dan mampu dimiliki.
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, Kerajaan Negeri berazam untuk memastikan soal pembangunan perumahan akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap rakyat tidak terpinggir daripada arus kemajuan negeri.
Sehingga Disember 2025, sebanyak 20,212 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah berjaya disiapkan, dengan sasaran 100,000 unit RMMJ bersubsidi akan dibina menjelang tahun 2030 kini berada di landasan yang tepat.
Kerajaan Johor juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bagi pelaksanaan inisiatif Bantuan Masuk Rumah Pertama serta Bantuan Beli Rumah Pertama.
Pada masa sama, sebanyak RM97.5 juta pula telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program rumah percuma kepada golongan yang benar-benar memerlukan di seluruh negeri ini.
Kerajaan Negeri juga turut meluluskan dana sebanyak RM20 juta bagi program baik pulih rumah rakyat yang melibatkan sasaran 1,000 unit rumah, dengan 700 unit telah diluluskan setakat ini dan kerja baik pulih dijangka bermula pada Suku Kedua 2026.
Selain hal ehwal perumahan, kemasukan pelaburan berskala besar turut merancakkan pembangunan bandar serta meningkatkan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan perancangan bandar lebih tersusun, bersih dan selesa.
Melalui pendekatan ini, pertumbuhan ekonomi Johor yang mampan akan terus diterjemahkan kepada manfaat rakyat melalui kewujudan peluang pekerjaan, akses perumahan yang lebih baik serta bandar yang lebih berkualiti untuk didiami oleh Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#RMMJ
#JohorSmartCity
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



