KAIN BENANG JOHOR PILIHAN AIDILFITRI, WARISAN TERUS TERPELIHARA

Kain Benang Johor keluaran Yayasan Warisan Johor menerusi Koleksi Qalbu terus menjadi pilihan masyarakat, khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kain Benang Johor yang dilancarkan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) menerusi pengenalan Koleksi Qalbu terus menjadi pilihan masyarakat di negeri ini, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri khususnya bagi peminat busana tekstil warisan negeri ini.

 

Sejak memperkenalkan koleksi Qalbu, Kain Benang Johor sentiasa menjadi pilihan khususnya ketika musim perayaan apabila ramai memilihnya sebagai busana tradisional Aidilfitri, lebih-lebih lagi dengan tarikan tawaran harga istimewa yang lebih berpatutan serta 60 pilihan tona warna menarik.

 

Sejak tahun 2018, Galeri Tenun Johor yang berpangkalan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) YWJ ini merekodkan kehadiran kira-kira 70,000 pengunjung, selain turut menerima permintaan menggalakkan daripada orang ramai hingga menyebabkan tempahan kain tenun tangan bagi Aidilfitri tahun ini telah diterima sejak seawal Oktober 2025 lagi.

 

Ketika ini, terdapat tujuh penenun yang menghasilkan kain secara manual di Galeri Tenun Johor, dengan setiap helai kain perlu melalui lapan proses tenunan dan mengambil tempoh masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.

 

Salain itu, pembukaan Galeri Tenun Johor sebagai pusat pameran serta lokasi penghasilan juga sebahagian daripada usaha untuk memelihara warisan tekstil berkenaan, selain inisiatif mempatenkan Kain Benang Johor melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan keaslian dan identitinya sentiasa dalam keadaan terpelihara.

 

Usaha melahirkan generasi penenun baharu turut dilaksanakan menerusi Program Perintis Tenun hasil kolaborasi strategik yang dilaksaanakan bersama Yayasan Johor Corporatioan (Yayasan JCorp) yang akan memberi latihan asas penenunan selama enam bulan kepada golongan belia.

 

Bagi memastikan kain tradisional ini terus kekal relevan, YWJ turut menjalinkan kerjasama bersama Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerusi festival fesyen yang menggabungkan elemen tenunan tradisional dengan reka bentuk moden melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa.

 

#JohorSafeZone
#KainBenangJohor
#PilihanAidilfitri
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor