PBJNJ FOKUS AKAR UMBI SUKAN BOLA JARING

Kompleks Bola Jaring Che Puan Khaleeda Johor

 

#IskandarPuteri – Transformasi bola jaring di Johor memuncak dengan pembinaan Kompleks Bola Jaring bertaraf antarabangsa sekali gus menaikkan taraf sukan ini sebagai antara yang terbaik di dalam negara. Pasukan Johor Jewels yang kini diperkuatkan oleh import bertaraf dunia seperti Gretel Bueta dan Laura Langman telah membuktikan kecemerlangan dengan menjuarai Netball Super League pada tahun 2022 dan mempertahankan kejuaraan pada tahun 2023.

 

Di bawah naungan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Persatuan Bola Jaring Negeri Johor (PBJNJ) mentransformasikan sukan bola jaring di Johor melalui pembangunan akar umbi dan infrastruktur moden, terutamanya dengan perasmian Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda Johor. Ini mengukuhkan hala tuju Johor sebagai kuasa besar sukan tersebut dengan fasiliti bertaraf dunia.

 

PBJNJ komited dalam membangunkan ekosistem sukan bola jaring tidak hanya terhad kepada kejayaan pasukan elit Johor Jewels sahaja. Fokus menyeluruh termasuk menaik taraf infrastruktur, melaksanakan program latihan intensif yang sistematik serta giat mengesan bakat baharu dari peringkat akar umbi untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan bola jaring di Johor.

 

Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda Johor yang terletak di Johor Bahru merupakan mercu tanda utama sukan bola jaring di negeri ini. Kompleks ini turut berfungsi sebagai hab latihan rasmi bagi pasukan elit Johor Jewels yang bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Dilengkapi dengan gelanggang berbumbung yang mengikut spesifikasi profesional, kompleks ini membolehkan pemain membuat latihan intensif tanpa gangguan cuaca. Selain kegunaan atlet elit, ia juga menjadi pusat tumpuan program pembangunan bakat muda untuk melahirkan lebih ramai pelapis.

 

Menurut YB Puan Hajah Alwiyah Talib, Presiden PBJNJ dan juga memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), komitmen utama PBJNJ adalah untuk memperkasakan sukan bola jaring melalui pendekatan pembangunan secara menyeluruh. Kepentingan melahirkan bakat dari peringkat akar umbi melalui rangka kerja komprehensif bertujuan untuk menaik taraf sukan ini ke tahap profesional yang disegani di Asia.

 

Visi beliau bukan sahaja untuk melahirkan pasukan berstatus elit seperti Johor Jewels yang mampu bersaing di peringkat tertinggi, tetapi juga memastikan komuniti setempat dan pemain remaja tidak terpinggir dengan menyediakan akses kepada fasiliti serta latihan berkualiti.

 

#JohorSafeZone
#PBJNJ
#NetballJohor
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor