STRATEGI ‘DECANTING’ BERJAYA ATASI KESESAKAN KLINIK KESIHATAN SULTAN ISMAIL

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke KK Sultan Ismail bagi meninjau keberkesanan pelaksanaan inisiatif ‘decanting’ dalam meningkatkan kecekapan serta keselesaan perkhidmatan. | Foto FB AH SOON

 

#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Negeri mengatasi kesesakan di Klinik Kesihatan (KK) Sultan Ismail menunjukkan keberkesanan apabila pemindahan sebahagian perkhidmatan ke fasiliti baharu di Mount Austin sejak Disember lalu, berjaya meningkatkan kecekapan penyampaian dan mengurangkan tekanan di klinik berkenaan.

 

Fasiliti Unit Ibu dan Anak yang dipindahkan dari Hospital Sultan Ismail (HSI) kini mengendalikan antara 130 hingga 200 temu janji setiap hari sekali gus mengurangkan beban KK Sultan Ismail yang sebelum ini menerima sehingga 1,500 pesakit sehari.

 

Pemindahan tersebut turut melibatkan perkhidmatan pandu lalu bagi pengambilan ubat, membolehkan urusan pesakit dilaksanakan dengan lebih pantas dalam persekitaran yang lebih kondusif dan tersusun.

 

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, Kerajaan Negeri menanggung kos sewaan selama 10 tahun dan perbelanjaan pengubahsuaian serta perolehan peralatan baharu berjumlah kira-kira RM6 juta sebagai pelaburan memperkukuh sistem kesihatan negeri.

 

Pendekatan sama turut akan diperluaskan ke KK Kulai dan KK Kampung Melayu Majidee pada tahun ini, bagi menangani kesesakan di kedua-dua fasiliti yang turut mencatat jumlah pesakit harian yang tinggi.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke KK Sultan Ismail bagi meninjau keberkesanan pelaksanaan inisiatif ‘decanting’ dalam meningkatkan kecekapan serta keselesaan perkhidmatan.

 

#JohorSafeZone
#PerkhidmatanBerkualiti
#KlinikKesihatanSultanIsmail
#HospitalSultanIsmail
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor