KERJA PEMBAIKAN JAMBATAN SUNGAI PULAI BERMULA JUN INI

Jambatan ini merupakan laluan penting yang bukan sahaja memudahkan pergerakan antara Kukup dan kawasan sekitarnya, malah berperanan dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat di daerah Pontian dan Johor Bahru. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerja-kerja pembaikan Jambatan Sungai Pulai dijadualkan bermula pada Jun ini dan dijangka siap pada tahun 2027 sebagai usaha Kerajaan Johor dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terus terpelihara.
Langkah ini susulan penemuan audit teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengesan keadaan mendapan serius yang berlaku pada struktur jambatan tersebut dalam tempoh singkat selepas ia dibuka kepada pengguna lalu lintas.
Berdasarkan penilaian teknikal mendapati punca utama kerosakan berkenaan dikenal pasti berpunca daripada ketidakstabilan struktur tanah serta penggunaan kaedah pembinaan sistem ringan EPS (Expanded Polystyrene System) yang kurang sesuai dengan keadaan sebenar tapak projek.
Justeru, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pelaksanaan kaedah pembaikan yang lebih kukuh dan menyeluruh dengan mengambil kira keadaan sebenar tapak serta faktor struktur tanah bagi menjamin kestabilan jambatan berkenaan bagi tempoh jangka panjang.
Jambatan ini merupakan laluan penting yang bukan sahaja memudahkan pergerakan antara Kukup dan kawasan sekitarnya, malah berperanan dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat di daerah Pontian dan Johor Bahru.
Komitmen ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Johor dalam memastikan setiap infrastruktur yang dibangunkan perlu memenuhi piawaian keselamatan tinggi demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Justeru, orang ramai khususnya yang menggunakan Jambatan Sungai Pulai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh kerja pembaikan dijalankan.
Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer dengan kos pembinaan kira-kira RM800 juta menghubungkan Johor Bahru dengan Pontian telah disempurnakan perasmian pembukaannya oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, pada Januari 2023.
#JohorSafeZone
#JambatanSungaiPulai
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


