JDT RACING TEAM TEMPA SEJARAH

Foto JDT Racing Team

 

#IskandarPuteri – JDT Racing Team berjaya menempa sejarah baharu pasukan apabila berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC 2026) buat pertama kali selepas Hafizh Syahrin Abdullah melakukan tunggangan cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

 

Tambah membanggakan, Hafizh berjaya mencatatkan ‘clean sheet’ dengan menguasai kedudukan pertama bermula dari sesi latihan pertama pada Jumaat hingga perlumbaan kedua pada Ahad.

 

JDT Racing Team membuktikan mereka semakin berbisa apabila pelumba baharu pasukan, Andi Farid Izdihar meraih tempat ketiga dalam kedua-dua perlumbaan sekali gus menyaksikan penguasaan podium yang memberikan permulaan yang baik musim baharu ini.

 

Hafizh menyatakan rasa syukurnya dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pasukan termasuk penyokong Johor iaitu Boys of Straits yang turut hadir di litar.

 

“Pertama sekali syukur atas kejayaan ini dan saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta para penyokong yang hadir dan keluarga yang sentiasa memahami minat dan kerja saya,” katanya selepas perlumbaan.

 

Bagi Andi Farid pula, dia mengakui sedikit kesukaran ketika permulaan perlumbaan namun dia yakin dengan kekuatan jentera Ducati dan berjaya memintas satu persatu pelumba lain sebelum menamatkan perlumbaan di podium.

 

“Permulaan yang sangat buruk tetapi saya berjaya memberikan saingan dan berpuas hati dengan tempat ketiga dan saya sangat gembira,” katanya.

 

Dengan kejayaan ini, Hafizh Syahrin kini mengumpul 50 mata, 10 mata di hadapan Keito Abe manakala Andi Farid ketiga dengan 32 mata.

 

Pusingan kedua ARRC 2026 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 8 hingga 10 Mei dengan cabaran baharu menanti JDT Racing Team.

 

#JohorSafeZone
#JDTRacingTeam
#Sepang
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor