STADIUM SULTAN IBRAHIM HAK MILIK JDT – YB MOHD HAIRI MAD SHAH

Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri 

 

#IskandarPuteri – Stadium Sultan Ibrahim (SSI) adalah hak milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di bawah naungan dan perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT.

 

Berdasarkan kenyataan media, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menegaskan bahawa pembinaan SSI merupakan sebahagian daripada visi strategik DYAM Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di Negeri Johor.

 

Sebagai entiti profesional, fokus JDT ke arah mengurus dan membangunkan pasukan termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat dan pengurusan kelab secara keseluruhan.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa untuk memastikan tadbir urus SSI dilaksanakan secara berstruktur, DYAM Pemangku Sultan Johor telah memberikan kepercayaan dan kuasa kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) dalam memastikan stadium berada dalam tahap terbaik untuk perlawanan domestik dan antarabangsa termasuk merancang dan melaksanakan penyelenggaraan berkala serta menguruskan aspek keselamatan, fasiliti dan logistik.

 

Modul pengurusan tersebut menunjukkan pemisahan peranan profesional yang berkesan dan pendekatan ini selari dengan amalan terbaik kelab bola sepak elit di seluruh dunia. Perkara ini turut menjadi antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Sehubungan itu, semua pihak khususnya penulis atau pempengaruh media sosial dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menyemak fakta dan tidak membuat kenyataan rambang yang boleh mencemar reputasi institusi sukan negeri serta kepimpinan Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#StadiumSultanIbrahim
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor