KAMPUNG ORANG ASLI BERASAU TERIMA BEKALAN ELEKTRIK MENERUSI SISTEM SOLAR ‘OFF-GRID

YAB Datuk Amar Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan projek di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI PETRA di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, baru-baru ini. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Selepas sekian lama terpaksa bergantung kepada janaan elektrik daripada generator, masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Berasau kini boleh menarik nafas lega apabila menerima bekalan tenaga berkenaan menerusi pemasangan sistem solar off-grid, sekali gus membuka akses kepada kemudahan asas dan meningkatkan kualiti hidup komuniti pedalaman di kawasan berkenaan.
Inisiatif di bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam memastikan komuniti pedalaman turut menikmati kemudahan asas berkenaan secara menyeluruh.
Kampung Orang Asli Berasau, Kahang yang menempatkan seramai 86 penduduk daripada suku kaum Jakun sebelum ini berdepan kekangan ketiadaan bekalan elektrik, sekali gus memberi cabaran kepada kehidupan harian serta aktiviti sosioekonomi komuniti di kawasan berkenaan.
Pelaksanaan sistem solar ‘off-grid’ sebagai sumber tenaga alternatif menjadi penyelesaian praktikal dalam menyediakan akses tenaga yang lebih stabil dan mampan kepada penduduk.
Kemudahan ini turut menyokong keperluan asas termasuk sesi pembelajaran anak-anak, aktiviti ekonomi serta kesejahteraan kehidupan harian masyarakat setempat.
Pelaksanaan inisiatif ini diselaraskan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan projek berkenaan dapat dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berkesan.
Selain itu, Kerajaan Johor terus memperluas pelbagai usaha yang merangkumi pembangunan infrastruktur asas, pendidikan, kebajikan serta pemerkasaan komuniti Orang Asli agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Terdahulu, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan projek di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI PETRA di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#KampungAngkatMADANI
#PETRA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


