DYAM PEMANGKU SULTAN JOHOR MAHU AGENDA PERUMAHAN RAKYAT DITERUSKAN DENGAN KONSISTEN

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah agar usaha menyediakan kediaman selesa dan mampu milik untuk Bangsa Johor terus diperkasa secara konsisten demi manfaat lebih ramai rakyat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kemudahan tempat tinggal untuk Bangsa Johor akan terus menjadi keutamaan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah, usaha tersebut perlu diteruskan secara konsisten agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat yang sememangnya amat memerlukan kemudahan itu di negeri ini.

 

Sejak 2022 sehingga kini, sebanyak 21,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah disiapkan dengan lebih 16,000 unit daripadanya telah didiami, manakala lebih 26,000 rakyat turut dibantu memiliki rumah pertama melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

 

Selain itu, penyediaan subsidi bina baharu kepada 1,500 penerima, pemberian rumah percuma kepada lebih 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR) serta kerja membaik pulih lebih 4,000 rumah daif dan 12 projek Perumahan Rakyat terus memperkukuh agenda perumahan di negeri ini.

 

Baginda turut berharap sasaran meningkatkan pemilikan rumah termasuk 40,000 unit RMMJ menjelang 2027 serta 100,000 unit menjelang 2030 dapat direalisasikan melalui perancangan rapi dan pelaksanaan yang berkesan.

 

Sementara itu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor serta menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh agenda perumahan rakyat agar setiap dasar yang dilaksanakan mampu memberi impak menyeluruh kepada Bangsa Johor.

 

Usaha Kerajaan Negeri menyediakan perumahan mampu milik bukan sekadar untuk memenuhi sasaran angka, sebaliknya ia dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa melalui pemilikan kediaman sendiri, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#RumahKasihJohor
#RumahPrihatinJohor
#PerumahanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor