ORANG MUDA JOHOR DISERU AMBIL PELUANG PEMBANGUNAN NEGERI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Program Ayuh Johor Mahasiswa UTHM di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#BatuPahat – Seiring pembangunan negeri yang semakin rancak, Orang Muda Johor terus diseru supaya merebut setiap peluang yang diwujudkan menerusi pelbagai agenda pembangunan strategik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor, sebelum ini.
Bagi tujuan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan antaranya pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu menerusi peningkatan pelaburan berkualiti dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta pengukuhan kerjasama ekonomi rentas sempadan.
Fokus turut diberikan terhadap peranan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai platform untuk memperkasa modal insan negeri melalui penyelarasan pembangunan bakat, peningkatan kemahiran serta penyediaan laluan kerjaya yang lebih tersusun bagi memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.
Selain itu, Mahasiswa Johor turut disifatkan sebagai golongan yang bertuah kerana Kerajaan Johor sentiasa memberi keutamaan terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan anak negeri apabila lebih RM106.32 juta telah diperuntukkan untuk sektor pendidikan bagi tahun ini.
Menerusi Program Ayuh Johor Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), mahasiswa akan diberi ruang dan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pemegang taruh negeri menerusi sesi ‘townhall’ bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai Agenda Maju Johor 2030, selain perancangan hala tuju pembangunan negeri.
Sementara itu, mahasiswa anak Johor yang menuntut di UTHM turut menerima khabar gembira apabila YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan pemberian Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) Khas berjumlah RM200 seorang bagi membantu mereka menghadapi cabaran kos sara hidup, sekali gus meringankan beban kewangan mahasiswa.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke Program Ayuh Johor Mahasiswa UTHM di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, hari ini.
Turut hadir YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor; YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dan YBhg. Tuan Haji Ts. Mohd Johari Tarmidi, Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO).
#JohorSafeZone
#OrangMudaJohor
#AyuhJohor
#IDO
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


