JABATAN KECEMASAN HSAJB DIPINDAHKAN SEMENTARA, LANCARKAN PROJEK NAIK TARAF HOSPITAL

Jabatan Kecemasan HSAJB akan dipindahkan sementara ke bekas wad bersalin mulai 3 Ogos 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penaiktarafan dijalankan tanpa menjejaskan perkhidmatan, dengan khemah sementara disediakan bagi menampung kapasiti pesakit. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) akan dipindahkan sementara ke kawasan bangunan yang sebelum ini digunakan sebagai wad bersalin bermula 3 Ogos 2026 bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf hospital dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Pendekatan itu diambil bagi memastikan projek penaiktarafan Jabatan Kecemasan HSAJB dapat diteruskan tanpa menjejaskan perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai, selain turut menyediakan kemudahan khemah sementara bagi menambah kapasiti dan keselesaan kepada pesakit sepanjang tempoh projek berkenaan berlangsung.
Kerja-kerja penaiktarafan Jabatan Kecemasan pula dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan, sekali gus diharap dapat meningkatkan kecekapan operasi serta menyediakan persekitaran rawatan yang lebih selesa, moden dan berkualiti kepada rakyat Johor.
Sebahagian besar wad di bangunan utama HSAJB kini telah siap dinaik taraf, manakala kerja-kerja di pintu masuk utama dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Ogos ini, sebelum projek selanjutnya diteruskan ke fasa penaiktarafan Jabatan Kecemasan.
Bagi tujuan itu, orang ramai yang tidak mengalami kes kesihatan berbentuk kecemasan disarankan supaya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) kerajaan yang berhampiran, manakala bagi kes kecemasan pula, pesakit juga boleh mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) atau Hospital Pasir Gudang (HPG) bagi membantu mengurangkan kadar kesesakan di HSAJB.
Sementara itu, usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri ini terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri menerusi peruntukan lebih RM60 juta bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di seluruh negeri dengan HSAJB menjadi antara hospital yang menerima peruntukan terbesar.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan meninjau kemajuan projek penaiktarafan HSAJB yang sedang giat dilaksanakan, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#Hospital
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



